Tugas pengurus rumah tangga tidak pernah habis dari pagi sampai malam. Tanggungjawab mereka berat dan rencam. Justeru, kerja rumah tangga perlu diurus secara profesional. Seorang wanita berkeluarga tidak boleh lari daripada menjadi pengurus rumah tangga walaupun dia seorang yang berkerjaya atau seorang yang professional dalam bidangnya di luar rumah.
Seorang pengurus rumah tangga mempunyai tanggungjawab berat sebagai seorang isteri, ibu (jika mempunyai anak), pengurus rumah tangga dan keluarga. Apatah lagi, jika dia mempunyai kerjaya lain.
Justeru, untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab ini dengan berkesan, seorang wanita perlukan pelbagai kemahiran dan kecekapan. Mereka juga perlukan sokongan moral suami dan lebih daripada itu, pengorbanan, kerana ia bukan kerja mudah.
Sebagai seorang pengurus, kita harus pandai merancang.
Contohnya:
- merancang masa,
- mengatur kegiatan harian,
- mengawal kewangan,
- mengatur kebajikan serta keperluan suami dan anak-anak.
Tetapkan juga satu hari dalam sebulan, contohnya, setiap hari minggu terakhir, untuk:
- merancang kegiatan keluarga,
- senarai barang keperluan dapur dan rumah serta
- senarai bil untuk dibayar.
- perancangan akademik anak-anak dan jadual peperiksaan,
- masa untuk balik kampung, atau melancong.
“Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok(akhirat).”
(Surah al-Hasyr: 18).
(Surah al-Hasyr: 18).
Sebahagian proses perancangan dan pengurusan rumah tangga ialah merancang keluarga, iaitu merancang masa sesuai untuk hamil dan melahirkan anak. Jika kita tidak merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal. Sebaik-baiknya, berbincanglah suami isteri mengenai batas kemampuan masing-masing untuk memastikan pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak lebih teratur dan sempurna.
Jika isteri tidak bekerja, tanggungjawabnya sebagai pengurus dan pendidik di rumah, bukan mudah. Tugas isteri tidak sepatutnya dibebankan dengan kelahiran anak setiap tahun. Suami juga harus prihatin dengan kemampuan isteri mengurus rumah dan anak-anak, sama ada dia seorang yang cekap dan berkesan mengurus, atau sebaliknya. Bantulah dia memilih kaedah merancang keluarga yang sesuai.
Kita perlu ingat bahawa pendidikan anak bukan setakat memenuhi keperluan fizikal iaitu makan dan pakai sahaja, malah keperluan emosi, mental dan rohaniah.
Dalam menangani urusan harian, kita perlu mengambil berat keperluan diri sendiri dan pengurusan diri. Berapa ramaikah di antara kita yang mengurus keluarga dengan baik, tetapi lupa untuk menjaga diri sendiri?
Jagalah:
- masa makan,
- rehat tidur yang cukup.
- Makanlah makanan berkhasiat dan seimbang.
- Minum air secukupnya.
- Sebaik-baiknya sediakan masa untuk beriadah, misalnya pergi ke kelas aerobik atau berjoging tiga kali seminggu. Selain membantu menghalang kegemukan dan meningkatkan kecergasan, ia juga melambatkan proses pereputan tulang atau ‘osteoporosis’.
- Sediakan masa untuk diri kita.
- Uruskan supaya hal rumah tangga dan anak-anak tidak menjadi penghalang.
Kesihatan dan kecergasan diri akan meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan kita melaksanakan urusan rumah tangga dan melayan suami dengan lebih berkesan. Sekiranya kita sentiasa letih, kita akan mudah marah dan merungut, serta tidak tenang menghadapi karenah suami dan anak-anak. Jagalah kesihatan kulit, muka dan rambut serta kekemasan dan penampilan diri supaya sedap mata suami memandang dan menjadi contoh kepada anak-anak.
Dalam kegiatan harian,
- Utamakan solat apabila tiba waktu. Tinggalkan apa juga kerja yang sedang dibuat. Biasanya, kita akan menetapkan solat selepas habis membasuh pinggan, cuci kain dan sebagainya. Namun, selalunya ada saja kerja baru timbul dan akhirnya kerja kita tidak beroleh keberkatan Allah, dan urusan rumah tangga pun tidak berjalan lancar.
- Rancang kerja supaya waktu rehat ada.
- Gunakan waktu solat untuk berehat dengan mengerjakan solat yang khusyuk dan diikuti membaca al Quran dengan tenang.
- Sediakan peralatan rumah tangga yang mampu kita miliki. Misalnya, mesin basuh automatik, ketuhar gelombang mikro dan pembantu rumah.
Sediakan juga masa untuk pengisian minda dan kegiatan sosial bermanfaat yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Jangan kita membiarkan diri kita hanyut dalam arus sembang kosong atau mengumpat bersama jiran di tepi pagar.
Pengisian minda dapat membantu kita mengurangkan tekanan perasaan apabila berselisih faham dengan suami atau kecewa dengan kerenah anak. Misalnya, aktiviti perbincangan sesuatu isu seperti pendidikan anak remaja atau kemahiran teknologi maklumat serta komunikasi. Sesi ini boleh diadakan bersama majlis minum petang dengan jiran. Kita boleh menjemput seseorang yang pakar dalam isu itu di kalangan jiran atau kawan lain.
Kegiatan membina begini boleh dikembang dengan membabitkan anak remaja sebagai kegiatan pembinaan remaja. Ini supaya remaja tidak hanyut dengan perbuatan sia-sia.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah ar Ra’ad : 11).
Jika setiap daripada kita menjadi pengurus rumah tangga dan keluarga berkesan, insya Allah setiap institusi keluarga terbina dengan kukuh. Setiap ahli keluarga akan menjadi ahli masyarakat berkesan. Akhirnya, akan terbentuk umat cemerlang.
Oleh: Dr Lily Fariza Karim
No comments:
Post a Comment