Thursday, June 11, 2009

KETENTUAN dari Allah

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah seorang muslimin yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga dengan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang menjaga tuturkatanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung
Yang mempunyai ramai kawan
Dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang menghormati ibu bapanya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga
Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga
Yang akan mendidik anak-anak dan isteri mendalami agama islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat

Muslimin Acuan Al-Quran
Sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup di bawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Muslimin Acuan Al-Quran
Tidak pernah membazirkan masa
Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Yang bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Muslimin Acuan Al-Quran
Sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang tidak pernah terpesona
Dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Disitulah rumah impiannya
Bersama wanita acuan Al-Quran

____________#####____________#####____________

Pengetahuan kita tentang baik atau buruk sesuatu yang kita kejari itu jauh lebih cetek berbanding dengan pengetahuan Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Kesemua pilihan atau ketetapanNya untuk setiap hamba seperti kita adalah yang terbaik dan paling tepat. Rahmat dan pemberian Allah kepada para hambaNya datang dalam bentuk dan gambaran yang berbeza-beza.

Adakalanya ia terhidang dalam bentuk kebaikan, iaitu ketetapan-ketetapan yang sealiran dengan apa yang dihasratkan oleh hamba-hambaNya. Adakalanya juga ia terhidang dalam bentuk keburukan, iaitu ketetapan-ketetapan yang bertentangan dengan apa yang dicita-citakan oleh hambaNya.

Al-Imam Ibnu Athaillah Assakandary ada berkata yang membawa maksud ;
"Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu kebaikanNya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu kekuasaanNya. Maka Dia di dalam semua itu memperkenankan dan menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusanNya kepadamu."

Jangan sesekali kita merasa ragu-ragu atau sangsi dengan kebaikan dan ketetapan Allah ke atas kita. Selagi kita bergelar mukmin selama itulah kita tidak perlu kecewa....

walaupun ketetapan yang menimpa kita tidak sepertimana yang kita jangkakankerana ketetapan yang datang daripada Allah SWT itu adalah untuk kebaikan kita.

Rasulullah SAW yang mafhumnya ;
" Demi zat yang diriku ada ditanganNya tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hambaNya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya...." (Muslim)

Golongan mukmin seperti kita wajib menyambut qada’ dan qadar Allah SWT dengan dada yang terbuka. Pilihan-pilihan Allah SWT untuk para hambaNya, adalah yang terbaik kerana Dia Maha Mengetahui. Allah SWT yang Maha Penyayang tidak akan sesekali menganiayai para hambaNya, malah ketetapan-ketetapanNya ke atas kita adalah untuk memastikan kita semua beroleh kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat jangan ada keraguan lagi dalam hati kita, seolah-olah yang lain dari ketentuanNya itu lebih baik dan lebih sempurna.

Tiada ketentuan yang akan membinasakan hambaNya kecuali ke atas mereka yang tidak mengingatiNya. Terimalah dan peliharalah ketentuan Allah dengan baik, sama ada dari segi rezeki, jodoh dan seumpamanya.


Jika ketentuan itu selari dengan apa yang kita cita-citakan maka panjatkanlah kesyukuran kepadaNya. Jika ketentuan itu bercanggah dengan hasrat kita sambutlah ketentuan itu dengan hati yang terbuka kerana mengikut ilmuNya, ketentuan tersebutlah yang terbaik untuk kita walaupun bertentangan dengan kemahuan kita yang asal.

Apabila kita menerima ketetapan-ketetapan Allah dengan penuh ikhlas maka akan terpadam rasa kekecewaan dan keresahan. Kegagalan tidak lagi kita rasa sebagai kegagalan. Kesusahan tidak lagi dirasai sebagai kesusahan.

Apa sahaja ketetapan Allah SWT ke atas kita umat Islam, sama ada ia seiring dengan kemahuan kita atau sebaliknya, kesemuanya untuk kebaikan kita. Walau setiap sesuatu yang tidak kita perolehi itu digantikan Allah SWT dengan yang lebih baik daripada apa yang kita inginkan.

Walau apapun, percayalah dan yakinilah bahawa Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berdasarkan ilmu dan kebijaksanaanNya.






No comments: