Saturday, December 12, 2009

TETAMU

Biasanya waktu petang-petang begini, terutama sekali waktu hujung-hujung minggu tu, isteri kita akan lebih kreatif menyediakan kuih-muih pemanis mulut untuk menyerikan lagi suasana “family-gathering” meminum petang bersama-sama dengan anak-anak kita. Tengah kita dok bersantai bersembang-sembang dengan isteri dan anak-anak yang berlonggok di hadapan tv itu, tiba-tiba masuk sebuah kereta di pintu pagar rumah dan disertai dengan laungan “Assalamualaikum!” yang amat kita kenali suara pemberi salam itu.

Dengar sahaja salam itu, kita pun bangun terus ke dalam bilik mencapai baju kerana tadinya hanya berkain pelikat sahaja dan meluru ke depan terus menyambut salam dengan muka yang manis dan terus mempelawa sahabat kita ini masuk ke dalam rumah. Disebabkan kedatangannya ini tidak diberitahu dari awal, maka sudah pastilah keadaan bilik tu agak kelam kabut sedikit. Sempat jugalah isteri dan anak-anak kita yang dah matang tu menghempas pulas menyorok, mengemas, melonggok dan membaling apa-apa yang patut demi menyenangkan mata tetamu yang memandang itu.

Gelak ketawa rianglah kita dengan tetamu itu bersembang dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Jelas berputik sudah ukhuwah antara kita dengannya kerana kunjungan mahabbahnya ke teratak kita pada petang itu. Kita sama-sama bersyukur atas kunjungannya dan kita pula berjanji akan menziarahinya apabila ada yang waktu lapang buat kita dan keluarga nanti.
Sedang rancak bercerita, anak kita yang sulong itu pun memberikan isyaratnya dari pintu dapur yang kita sendiri telah maklum akan maksudnya. Kita pun meminta permisi dari tetamu dan terus ke dapur mengambil minuman dan kueh yang tersiap disusun rapi di atas talam (bagi yang ada trolley tu, dah ready untuk di tolak) untuk dibawa ke depan.
Disebabkan rancaknya perbualan hinggakan licin habis kueh yang dihidang. Malah kita yang pemurah ini pula bergegas ke dapur menambah kueh yang telah hampir-hampir licin. Apa lagi apabila mendapat pujian dari sahabat kita yang kita ni bertuah mendapat isteri yang pandai memasak kueh yang sedap itu. Waktu hampir-hampir nak maghrib, barulah nada perbualan kita pun bertukar ke sesi kesimpulan dan masing-masing berjanji untuk bertemu lagi di waktu-waktu yang sama masa depan.

Kita pun terasa puas apabila sahabat kita tadi telah pulang dan terasa benar pahala telah kita perolehi kerana telah melayan tetamu dengan sebaik mungkin. Kita pun dengan hati yang seronok menceritakan kepada isteri tentang isi perbualan, perangai baik-baik sahabat kita ini tadi, dan pelawaannya menziarahinya. Tetapi kali ini isteri kita tu macam layan tak layan aje. Seolah-olah dia tidak restui pulak kedatangan sahabat kita tadi. Mulalah hati kita ini naik risau nak pelawa rakan-rakan lain datang ke rumah kita. Malah ada yang dikalangan kita yang takut nak pelawa tetamunya masuk ke rumah. Dia hanya melayan rakan-rakan tadi di pintu dan mana-mana yang ada bangku atau tunggul batu di tepi pagar tu, akan mempelawa tetamunya itu duduk di situ sahaja. Sampailah tetamu tu balik. Serik nak ajak ke dalam sebab isteri dah semacam tak enjoy bila kawan-kawan kita datang.
Mengapa boleh terjadi demikian?
Dari sudut melayan tetamu tadi, memang boleh diakui, kita telah mendapat pahala yang banyak. Tapi kita juga terlupa yang pahala itu juga telah sepatutnya diperolehi oleh isteri kita di dapur tu. Tetapi kalau isteri telah bermasam muka sebaik saja tetamu kita itu beredar, maka sudah pasti pahala untuknya terlepas begitu sahaja.
Bagaimana pula isteri kita tu boleh bermasam muka?
1. Dia terasa teramat malu jika tetamu masuk ke rumahnya terutama sekali ruang tamunya yang keadaannya bersepah lintang pukang tidak tersusun. Kredibilitinya sebagai seorang isteri yang baik akan dirasainya hilang. Dia mula akan menyalahkan tetamu itu dan mungkin juga kita kerana tidak memberitahunya lebih awal. “Telefon dan e-mail kan ada, mengapa tak beritahu!”, fikirnya.
2. Tetapi bagi kita sang suami ini, tidak kisahkan sangat keadaan bersepah itu. Kita punya anggapan bahawa keadaan ini menunjukkan betapa sibuknya kita dan aktifnya anak-anak kita bermain di dalam rumah kita tu. Lebih banyak sepahnya, lebih aktiflah anak kita tu. Bertambah megahlah kita nak bercerita tentang kenakalan anak-anak kita tu. Ada harapan jadi “Power Rangers” atau yang lebih Islamik tu, menjadi macam “Khalid ibnul Walid – pejuang Islam yang terbilang tu”.
3. Bila tetamu kita balik, kita pula menceritakan tetang kehebatan sahabat kita tadi. Terlupa kita akan kehebatan isteri kita sendiri yang berkorban tidak menyentuh kueh tadi kerana semata-mata melayani tetamu kita yang juga menjadi tetamunya. Dilarang pula anak-anak kita memakan kueh tadi semasa di dapur, sebab takut-takut kita akan meminta lagi, sedangkan kueh itu dibuat sedikit hanya untuk keluarganya sahaja. Dan memang benarlah sangkaannya, apabila kita meluru kali kedua ke dapur bertanyakan kueh itu lagi.
Oleh itu suami-suami yang dirahmati Allah!
1. Apabila tetamu datang secara mengejut, kita hendaklah menyambutnya diluar pintu dahulu dan menantikan isyarat dari isteri membenarkan kita masuk apabila dia telah selesai menjalankan tugas “mission impossible”nya itu.
2. Jangan pula kita melayan tetamu kita itu di luar rumah sahaja. Ini juga akan mengecilkan hati isteri kita. Dia juga inginkan pahala di atas kunjungan tetamu kita itu. Melainkan kita tahu isteri kita itu tidak bersedia atau sakit.
3. Pandai-pandailah kita mengawal suasana jika kita sendiri tahu yang kueh yang dihidang itu tinggal sedikit atau ke dapurlah kita bertanyakan dahulu kepada isteri kita. Pendekatan ini lebih selamat. Ia tidak akan memalukan tetamu kita dan juga isteri kita.
4. Sebaik-baik sahaja tetamu itu beredar, kita hendaklah ke dapur dan mengangkat cawan dan piring kosong itu ke singki. Kalau yang rajin sikit tu, teruslah basuh semua piring dan cawan yang digunakan tadi. Paling kurang ialah kita ucapkan “Terima kasih Darling, kerana menolong abang menyediakan minuman dan kueh untuk tetamu abang tadi.” Yang lebih syahdu lagi hendaklah ditambah, “Semoga usaha kita tadi mendapat pahala dari Allah SWT”.
Jika beginilah amalan kita, pasti isteri kita akan berkata, “Nanti kalau dia datang lagi, kita buat laksa Kuala Perlis nooo!”
Cubalah!

Dikirim dalam Bapa Muda, Fahami Wanita, Hangat Cinta, Ibu Muda, Kenali Lelaki, Komunikasi, Perkahwinan

No comments: